“Anak-anak muda di luar sana, aku tahu kalian sedang menghadapi kesulitan dan rasa kecewa yang mendalam. Tetapi jangan sesekali berputus asa! Walaupun kegelapan seakan menyelubungi, harapan kita masih menyala dalam ARMADA Bersatu Malaysia. Dari setiap kejatuhan, kita akan bangkit bersama, melangkah dengan kekuatan baru, dan merebut masa depan yang lebih cerah. Percayalah, dalam kesedihan ini, ada cahaya yang menanti untuk kita temui.”

PENGENALAN

Nama saya Ad Adib bin Shaharuddin, atau lebih mesra dikenali sebagai Adib, anak jati Titiwangsa yang dibesarkan di Kampong Baru, Kuala Lumpur. Sejak kecil, saya telah melihat keindahan dan cabaran hidup di bandar ini, yang membentuk jiwa saya untuk terus berbakti. Saya memulakan pendidikan di St John’s Institution sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perkapalan di Netherlands Maritime Institute of Technology, Johor. Tidak lama kemudian, saya menamatkan pengajian dengan ijazah dalam perniagaan antarabangsa di Northumbria University, UK.

Pulangnya saya ke tanah air pada tahun 2018 menandakan titik tolak dalam khidmat saya kepada masyarakat Titiwangsa. Dengan penuh keazaman, saya menubuhkan Kelab Pemuda Kampong Baru (KPKB), sebuah NGO yang berfokus pada kebajikan dan khidmat komuniti, kerana saya percaya bahawa perubahan bermula dari peringkat akar umbi. Melalui usaha bersama, saya diberi peluang berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Titiwangsa dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Matlamat utama saya adalah untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih kepada warga Titiwangsa, sambil meneruskan perjuangan bersama ARMADA Malaysia. Dengan izin Allah SWT, saya berharap usaha ini akan membuka lebih banyak peluang untuk menyumbang kepada masyarakat yang saya cintai.

InsyaAllah

#KitaBuatBalik